• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 1,000 Kilogram Lauk Diagih Kepada Individu Dikuarantin

SETIU, 7 September –Lebih 1,000 kilogram lauk mentah diagih kepada penduduk yang dikuarantin di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, akibat peningkatan kes Covid-19 yang di Batu Rakit, kesemua penduduk dua buah kampung iaitu Kampung Wakaf Chatur dan Maras dikenakan kuarantin sekali gus menjejaskan sumber makanan mereka.

Katanya, berikutan itu, pihaknya mengagihkan lauk basah dan air mineral buat penduduk berkenaan.

“Ini merupakan kali kelima agihan lauk basah kepada penduduk di Parlimen Setiu yang dikenakan kuarantin. Kita agihkan juga untuk DUN Jabi, Permaisuri dan Langkap hari ini. 

“Pada pagi ini kita turun bersama Bersatu bahagian Setiu di bawah ‘bumbung’ Perikatan Nasional,” katanya kepada UPDI hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, agihan hari ini melibatkan 460 buah isi rumah yang dikenakan kuarantin di DUN Batu Rakit dan 370 lagi untuk tiga DUN yang lain.

“Seperti minggu yang telah sudah, 500 buah isi rumah di DUN Langkap yang dikenakan kuarantin. Seperti kebiasaanya, untuk agihan lauk basah ini, kita agih ayam mentah seekor ataupun ikan sebanyak 2 kilogram.

“Untuk hari ini juga, kita akan agihkan air mineral sebanyak tiga kotak bagi setiap rumah hasil sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu," katanya.


Tag: