DUNGUN, 14 September – Lebih 1,000 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC’25) yang berlangsung di Taman Eko Rimba Chemerong, di sini, semalam
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, MBCC bukan sahaja memperkenalkan keindahan Gunung Berembun yang mempunyai tiga air terjun semulajadi Chemerong, Berembun dan Langsir, malah turut memperkenalkan konsep pelancongan sukan untuk seisi keluarga.
"Insya-Allah, bermula tahun depan MBCC akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu, seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027,” jelasnya.

"Program ini juga dapat memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Dungun termasuk peniaga dan pengusaha inap desa, selain menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan yang terlatih bagi membimbing peserta sepanjang pendakian," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sidang Media MBCC 2025 berempat di Taman Eko Rimba Chemerong semalam.
Program tersebut anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan kerjasama kerajaan negeri.
Dalam program berkenaan, sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Razali turut menanam pokok sebagai simbolik kesedaran pentingnya pemeliharaan hutan secara lestari.
Sementara itu, Pengarah Program, Mohd. Rafi Kori berkata, MBCC’25 berkonsepkan ‘trail run’ yang menggabungkan elemen alam semulajadi, sukan dan kembara.
“Tahun ini, tiga kategori diperkenalkan iaitu Cengal (terbuka lelaki & wanita serta veteran), Meranti (tertutup lelaki & wanita) dengan hadiah keseluruhan RM13,000.
"Manakala kategori Nyatuh atau ‘Fun Trail’ sejauh dua dan lima kilometer pula dibuka untuk mereka yang mahu mendaki secara santai,” ujarnya.
