• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Lebih 10,000 Pengunjung Berselawat Di Stadium Tertutup, Gong Badak



Ahmad Razif bersama kepimpinan negeri berselawat pada program `Negeriku Berselawat dan Doa Kami Untuk Palestin', foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail



Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi sempena  program `Negeriku Berselawat dan Doa Kami Untuk Palestin'.

Program bermula pada jam 6.30 petang itu disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen TV Alhijrah pada jam 9 malam dengan  menampilkan penceramah tersohor, Ustaz Syamsul Debat.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman hadir bersama-sama  kepimpinan negeri bagi menjayakan matlamat meneruskan doa dan munajat, memohon pertolongan Allah SWT supaya menghentikan kezaliman musuh-musuh Islam yang menindas rakyat Palestin ketika ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus Fatiha Najeha Muhaimin, 16, berkata  dia bersama 30 rakan dijemput khas ke program yang cukup bermakna itu dan sudah berada  di lokasi program kira-kira jam 6 petang.


“Sangat teruja  dan tersentuh hati apabila mendengar semua hadirin bersama-sama mengalunkan zikir, selawat dan qasidah.

“Saya berharap apa yang dilaksanakan penganjur diteruskan pada masa datang, sebaik-baiknya menganjurkannya  pada setiap tahun,”katanya.

Pengunjung dari Seberang Takir, Ruhaimi Salleh, 40, berkata  program itu sangat sesuai untuk semua peringkat umur, terutama untuk remaja kanak-kanak.

“Anak lelaki saya, Ikmal Naufal Ruhaimi, 5,  ralit mendengar alunan qasidah, selain setia  mengikuti program itu  sehingga tamat program.

“Perangainya sangat berbeza berbanding ketika membawanya  menghadiri program lain di mana sebelum ini tidak mahu menumpu perhatian selain gemar membuat hal sendiri,” katanya.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Unit Komunikasi  Negeri Terengganu (UKOM) itu menjemput kumpulan In-Team untuk mempersembahkan Qasidah kepada tetamu.

Tag: