• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 20 NGO Terengganu Sertai Himpunan Rakyat Daulat Tuanku

KUALA TERENGGANU, 23 Januari – Lebih 20 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Terengganu akan menyertai Himpunan Rakyat Daulat Tuanku di hadapan Istana Negara, pada hari ini.

Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Faizul Wan Abas berkata seramai tiga wakil gabungan NGO dijangka menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyampaikan memorandum yang mengandungi pelbagai tuntutan melibatkan isu semasa negara.

Katanya, memorandum mengandungi luahan suara hati rakyat itu akan diserahkan sekitar jam 10 hingga 10.30 pagi menerusi Himpunan Selamatkan Rakyat yang dijadual berlangsung di hadapan pintu 2, Istana Negara.

“Pihak kami berpandangan himpunan rakyat ini wajar diadakan bagi mempersembahkan sokongan kepada Yang DiPertuan Agong,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas NGO-NGO Terengganu tentang isu-isu semasa di Malaysia dan Terengganu, di holding room, Hotel Permai, di sini semalam.

Tambah Faizul, tiga sebab utama Himpunan Rakyat Daulat Tuanku ini wajib diadakan kerana fitnah tidak bertanggungjawab Anwar Ibrahim dengan mengaitkan YDPA dengan rasuah (disebut derma) RM500 juta , RM700 juta.

“Hantaran yang dibuat oleh beliau di Facebook miliknya bukan sahaja tidak ditarik balik, bahkan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak berkenaan kesahihannya. 

“Dalam masa yang sama, banyak tuduhan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim sejak memegang tampuk pentadbiran negara kepada pihak pembangkang masih belum terbukti dan hanya tuduhan semata-mata,” katanya.

Himpunan ini katanya, bagi mempersembahkan keluhan rakyat kepada Raja-Raja Melayu kerana Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini tidak kompeten untuk mengurus ekonomi negara.

Jelasnya lagi, pelbagai bukti boleh dilihat, antaranya kenaikan harga beras, bawang, besi, tambang bas sekolah dan pelbagai lagi keperluan asas lain.

Bukan itu sahaja, Ringgit Malaysia dan Bursa Saham terusa menjunam dan tidak menentu meskipun kerajaan pimpinan Anwar kerap kali bercakap soal formula.

Di samping itu katanya, korupsi dan salah guna kuasa tetap berleluasa, janji yang dilaungkan sebelum ini dilanggar tanpa rasa bersalah.

Bahkan, di peringkat Negeri Terengganu, royalti disekat oleh Kerajaan Madani. 

Selain itu jelasnya, agensi seperti SPRM yang dilihat seolah-olah disalahguna dan pejabat peguam negara ditunggang hebat bagi memenusi serakah politik regim campuran.

Mengulas lanjut, sikap lemah Anwar, Zahid yang diperkuda DAP semakin tidak menghormati dan mencabar sensitiviti pribumi (Melayu) dan Islam.

“DAP yang terkenal suka menimbulkan pelbagai kontroversi terutama berkaitan kaum Melayu dan agama ISLAM dilihat mendapat ‘perlindungan’ daripada Anwar dan Zahid walaupun kenyataan tersebut menyentuh isu 3R. 

“Namun jika perkara tersebut dilihat keluar daripada pihak pembangkang, tindakan penangkapan dan dakwaan terus dilaksanakan dalam masa yang singkat,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menyeru semua pihak hadir dan bersedia untuk himpunan terbesar rakyat dalam mempertahankan institusi Raja Melayu & kedaulatan tanah air.

Justeru, di kesempatan ini juga, patik mewakili sekalian NGO merafak sembah menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Dipertuan Agung untuk berbuat sesuatu.

“Kami yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan Tuanku untuk membantu rakyat berhadapan dengan pentadbiran negara yang gagal ini,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: