• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 30 Peratus Bajet Negeri Bagi Langsaikan Hutang Projek Mega

KUALA TERENGGANU, 9 Oktober – Sehingga 35 peratus bajet kerajaan negeri terpaksa diguna bagi melangsaikan hutang pelbagai projek infrastruktur mega pentadbiran kerajaan terdahulu, menurut Menteri Besar Terengganu.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil minyak petroleum yang menyumbang kepada 75 peratus daripada bajet negeri, namun konteks sebenar itu perlu difahami.

Kata beliau, pihaknya perlu mengambil kira perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi mengelakkan timbul masalah lain.

“Pertama, saya ucapkan terima kasih kerana telah menyediakan ruang bagi penyediaan program pembangunan infrastruktur, cuma apabila pelaksanaannya menggunakan pelbagai kaedah ia telah memberi tekanan kepada sumber kewangan kerajaan negeri.

“Banyak projek ini telah menggunakan kaedah pembayaran tertangguh dan pembayaran berjadual, maka sudah tentu ada faedah ‘interest’ dan sebagainya.

“Katakan satu projek bernilai RM1 bilion, oleh kerana pentadbiran negeri tidak biayai projek pada waktu permulaan tetapi menerusi kaedah tersebut, pembinaan berjalan dahulu dan tempoh pembayaran ditentukan dalam masa 5 hingga 10 tahun,” katanya.

Tambahnya, antara contoh diberikan seperti pada tahun 2021, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan hampir RM440 juta bagi pembayaran projek terdahulu.

“Bila sampai tahun ini, jumlah tersebut perlu dibayar sedangkan bajet negeri hanyalah sekitar RM1.42 bilion sahaja. Maknanya sehingga 34 peratus bajet telah digunakan bagi melangsaikan hutang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

“Bukan kita tidak boleh membuat program pembangunan infra menggunakan hasil minyak, tapi perlu diambil kira bahan api fosil tersebut akan habis, oleh itu perancangan kini berbentuk timbal balik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut tentang punca lain pengurangan hasil kerajaan negeri, Ahmad Samsuri menjelaskan, antaranya adalah penggunaan dana negeri bagi pembiayaan projek pembangunan yang sepatutnya diambil tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan.

“Contohnya seperti pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2, yang menjadi tanggungjawab pusat tetapi Terengganu telah (dalam pentadbiran lalu) menggunakan dana kerajaan negeri hasil daripada petroleum sebanyak RM1.2 bilion untuk pembiayaan LPT2.

“Walaupun telah siap dibina, namun perundingan daripada awal peringkat sepatutnya diadakan bagi menuntut tanggungan kos yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan, tapi tiada perjanjian khusus diadakan maka tiada tarik tali.

“Hasilnya, apa yang kita laksanakan di Terengganu sehingga 2023 adalah mengurangkan projek pembangunan berskala mega kerana bagi memfokuskan kepada pemberdayaan rakyat sendiri,” jelas Ahmad Samsuri.

Menyentuh berkenaan perancangan pentadbirannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu menceritakan, antara fokus ‘empowerment’ adalah seperti mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, suasana kepincangan ekonomi dan lain-lain lagi.

“Kita fokuskan kepada pendidikan dan memberi keupayaan dalam sektor tersebut, walaupun tiada hasil kewangan namun bagi jangka masa panjang bagi membantu keluarga dan masyarakat.

“Bukan sekadar beri bantuan kewangan secara terus, tetapi melalui inisiatif lebih produktif untuk mereka bertahan,” ulasnya.

Menjawab persoalan kesediaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau menyifatkan pihaknya melaksanakan amanah diberi daripada rakyat.

“Rakyat akan menilai, kita percaya pertimbangan adil harus diberikan oleh masyarakat, berdepan dengan suasana netizen yang memberi gambaran salah, perkara ini perlu ditangani dengan penerangan.

“Itu adalah tugas kita semua sebagai rakyat yang bertanggungjawab yang akan menjawab di hadapan Allah SWT,” jelasnya lagi.