• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 300 Kaum Tionghua Terima Bantuan

DUNGUN, 8 Mac - Lebih 300 orang kaum Tionghua yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di seluruh Dungun menerima bantuan wang tunai. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi portfolionya menandakan kerajaan sangat mengambil berat kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mereka. 

"Di mana bantuan yang kita agihkan tidak bermusim macam hari ini walaupun Tahun Baharu Cina dan lepas, bila ada peruntukan kita segera agihkan kepada mereka ," ujarnya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhirnya Majlis  Prihatin dan Cakna Warga Emas , OKU dan Ibu Tunggal di Dewan Sivik Batu 5 di sini, semalam.  

Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik. 

Seorang penerima, Tan Lee Ngee, 70 terharu dengan kecaknaan kerajaan negeri walaupun Tahun Baharu Cina sudah lama berlalu, kerajaan tetap memberi sumbangan. 

"Mana lagi hendak cari kerajaan prihatin macam ni kepada orang cina, duit dapat, makanan pun dapat" katanya. 

Sementara itu Lee Ka Yam 78 berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah lupa golongan warga emas sepertinya. 


Tag: