• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lebih 500KG Sampah Dikutip Di Pantai Tok Jembal

KUALA NERUS, 23 September – Lebih 500 kilogram sampah telah berjaya dikumpulkan oleh peserta Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 di sekitar Pantai Tok Jembal, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menyifatkan program yang julung-julung kali diadakan itu merupakan satu inisiatif yang baik bagi memulakan pembudayaan kesedaran kepada masyarakat peri pentingnya menjaga kebersihan pantai.

Zuraida berucap merasmikan program.

Menurut beliau lagi, program tersebut juga berperanan untuk mewujudkan hubungan baik di antara rakan kolaborasi dan komuniti dalam melestarikan alam sekitar demi kelangsungan kehidupan sejagat.

“Program ini menyasarkan penduduk setempat, pengunjung pantai dan orang awam dengan anggaran peserta termasuk rakan kolaborasi yang akan terlibat adalah seramai lebih kurang 200 orang.

“Impak positif daripada program ini adalah dapat memberi pendedahan dan pengetahuan yang lengkap tentang penjagaan alam sekitar khususnya kebersihan pantai yang disediakan kepada kumpulan sasar.

“Selain bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai kepentingan pelaksanaan program yang tepat dan mampu mencapai sasaran objektif,” ujarnya.

Zuraida berkata demikian ketika merasmikan Program ‘Beach Cleanup’ Bersempena Dengan ‘World Oceans Day’ 2020 yang diadakan di Uptown Kontena Dapo Pata, Tok Jembal, baru-baru ini.

Zuraida melepaskan peserta.

Program tersebut merupakan anjuran bersama antara Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO Malaysia), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Pusat Pengajian Profesional Dan Lanjutan Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (PACE UUM KL).

Turut terlibat sebagai rakan kolaborasi mereka ialah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Trash Hero Batu Buruk, Uptown Kontena Dapo Pata di samping disertai oleh 250 orang yang terdiri daripada pelajar UMT dan PACE UUM KL selain sukarelawan daripada YPASM, MBKT, Trash Hero Batu Buruk dan Manis FM.

Beliau turut melahirkan harapan agar program ini dapat membuka mata rakyat Negeri Terengganu khususnya agar cakna dan prihatin akan masalah kebersihan setempat.

“Kalau boleh, setiap bulan anjurkan program sebegini pun tidak mengapa, supaya masyarakat nampak ada usaha kita untuk menjaga kebersihan setempat.

“Isu kebersihan ini sebenarnya amat dekat di hati saya, bahkan saya pernah sebutkan dalam ucapan perbahasan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) dahulu mengenai plastik yang tidak dibuang dengan betul dan akhirnya ia berakhir di laut yang menyebabkan kematian hidupan marin seperti penyu.

“Kalau kita lihat lagi, pernah disebutkan dalam Sidang DUN bahawa kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan sejumlah amaun yang agak besar bagi menguruskan sampah yang dihasilkan oleh rakyat Terengganu,"ujarnya.

 

Aksi peserta ketika mengumpulkan sampah.