• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Lebih 60,000 Hadir RXZ Members 5.0

KUALA Nerus, 10 September - Lebih 60,000 pengunjung hadir memeriahkan program RXZ Members 5.0 yang diadakan di negeri ini pada kali ini.

Malah tidak hanya peserta dari dalam negara, bahkan turut dihadiri pemilik dan peminat RXZ dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia telah memberikan satu limpahan ekonomi untuk rakyat Terengganu.

"Walaupun dalam tempoh dua hari ini berlalu kesulitan kerana rakyat terpaksa hadapi kesesakan, tetapi bagi kita itu adalah perkara biasa (kerana Terengganu sering dikunjungi dan didatangi ramai pelancong).

"Setakat saya difahamkan oleh pengusaha pelancongan, pusat-pusat perniagaan sangat meriah termasuk kedai-kedai makan yamh menerima limpahan ekonomi daripada penganjuran 'We Are RXZ Members 5.0" ini sehingga peniaga berkata buat banyak kali pun tidak apa, " ujarnya 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Penutup "We Are RXZ Members 5.0", di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam.

Perasmian penutup program berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali.

Mengulas lanjut Hishamuddin berkata, selama ini kerajaan negeri sentiasa menyokong apa jua bentuk program termasuk RXZ Members 5.0 berkenaan kerana mendatangkan impak yang sangat baik.

"Ini bukan program kerajaan negeri tetapi dianjurkan oleh NGO RXZ Members ini yang mana acara seumpama ini tidak pernah dibuat di negeri lain.

"Pada asasnya kita menyokong sebab ini merupakan agenda tahunan bukan dibuat tiap-tiap minggu dan ia telah menerima kehadiran pengunjung yang begitu ramai," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaam negeri akan sentiasa menyokong kepelbagai program yang ingin diadakan di Terengganu.

"Sama ada aktiviti anak muda atau mana-mana aktiviti yang positif pihak kerajaan negeri akan menyokong," ujarnya.

 


Tag: