• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Lebih 900,000 Benih Ikan Dilepaskan Di Tasik Kenyir Tahun Lepas

HULU TERENGGANU, 6 Mac- Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ( Ketengah) melepaskan 935,460 pelbagai benih spesies ikan bernilai lebih RM500 ribu di Tasik Kenyir pada tahun 2020.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2, Che Abdullah Mat Nawi, berkata pelepasan itu bagi meningkatkan stok ikan perikanan darat dan sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan.

Katanya, ia juga bagi meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di sungai dan tasik.

"Antara benih ikan yang telah dilepaskan pada tahun 2020 adalah kelah, temoleh, sebarau, lampam, baung dan udang galah.

"Pelepasan ini telah bermula secara berperingkat pada Julai hingga November 2020," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ketengah, Dato' Razali Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat dan Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.

Sebanyak 300 ribu benih pelbagai spesies anak ikan iaitu kelah, baung, lampam dan udang galah yang bernilai RM379,668 dilepaskan sempena program tersebut.

Tambahnya lagi, pada bulan Februari 2021, sebanyak 5,000 ekor benih lampam bernilai RM10 ribu telahpun dilepaskan ke Sungai Leban.


Tag: