• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Lebih Banyak Projek Perumahan Akan Diagihkan

KUALA TERENGGANU, 6 September - Hasrat kerajaan negeri untuk memastikan 20,000 unit rumah dibina dan diberi kepada rakyat akan tercapai dalam jangka masa dua tahun ini selepas proses pembinaan kembali dibenarkan bermula akhir Ogos yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata projek sebelum ini tertangguh kerana ia tidak dibenarkan atas faktor kesihatan dan keselamatan.

"Sepatutnya pada tahun ini ada beberapa projek yang telah siap dan boleh diberikan kepada rakyat, yang tengah dilaksanakan pun ada lebih 11,000 projek namun apabila dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka ia terhenti.

"Barulah sekarang bermula kembali, insya-Allah apabila telah mula dibenarkan ini dan apabila masuk kepada fasa ketiga atau keempat nanti projek-projek ini akan berjalan dengan lebih rancak dengan kapsiti penuh pekerja maka pada tahun hadapan akan dapat disiapkan, harapnya rakyat perlu bersabar dahulu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media secara atas talian, pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Besut 2035 hari ini 

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia (Jabatan perancangan Bandar dan Desa), TPr. Mohd Faidzal Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.

Mengulas mengenai program yang diadakan itu, beliau berkata ia adalah untuk memberi pemahaman dan peluang kepada semua pihak terutamanya penduduk di daerah berkenaan untuk terlibat secara langsung bagi menyemak, meneliti dan memberikan maklum balas mengenai perancangan bagi memajukan daerah terbabit.

"Perancangan kerajaan untuk mendatangkan manfaat untuk seluruh penduduk Besut, dalam masa terdekat kita hendak naik taraf Majlis Daerah Besut kepada Majlis Perbandaran," ujarnya.

 


Tag: