Lebih Dua Juta Pelancong ke Terengganu Suku Pertama 2025
KUALA TERENGGANU, 18 April - Terengganu terus menjadi sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung ke negeri ini bagi suku pertama tahun 2025 mencecah 2.03 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata statistik yang telah dicapai buat masa ini mengatasi jangkaan awal dan memberi isyarat positif kepada sasaran tahunan.
"Bagi suku tahun pertama 2025, jumlah kehadiran pelancong dan pengunjung yang direkodkan dianggarkan sebanyak 2,032,537 orang.
"Ini menunjukkan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri hasil usaha berterusan dalam promosi dan penambahbaikan fasiliti serta produk pelancongan.
"Ini juga merupakan satu permulaan yang memberangsangkan dan memberi petunjuk positif bahawa sasaran tahunan juga berpotensi untuk dicapai atau dilepasi," jelasnya.
Perkara itu telah diumumkan oleh Razali di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menelusuri prestasi tahun sebelumnya, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 mencatatkan angka yang melepasi sasaran awal yang ditetapkan.
"Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, kehadiran pelancong dan pengunjung ke Terengganu pada tahun 2024 telah mencatatkan jumlah yang membanggakan, iaitu sebanyak 7.8 juta orang, melepasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta.
"Sehubungan itu, bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran yang lebih tinggi, iaitu 8.5 juta (Lapan Perpuluhan Lima Juta) pelancong dan pengunjung, sebagai usaha berterusan untuk memajukan sektor pelancongan negeri ini," ujar beliau.