• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lebih Peluang Berucap Bukti Muafakat

 

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 27 November - Wakil-wakil Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih banyak  diberi peluang untuk berucap dalam Persidangan Mesyuarat  Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 hingga 25 November yang lalu membuktikan Muafakat Nasional di antara parti PAS dan BN di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ini membuktikan bahawa tiada pilih kasih berlaku di antara dua parti tersebut.

“Dalam perbahasan Rang Undang-undang  Perbekalan  ataupun Bajet 2021, saya telah memberi peluang setakat masa yang ada  kepada 12 orang Ahli Yang Berhormat (YB) membahaskan Rang Undang-undang ini.

"Saya dapati tujuh orang daripada bukan kerajaan  dan lima orang sahaja yang sempat daripada sebelah kerajaan.

“Ini  sebenarnya menggambarkan semangat Muafakat  Nasional. Kalau dalam persidangan yang lepas, zaman saya dulu memang tidak banyak peluang Ahli Parlimen daripada Bukan Kerajaan pada waktu  itu mendapat peluang sepertimana yang ada sekarang ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau pada hari ketiga Persidangan mesyuarat Kali Ketiga Penggal ketiga DUN Terengganu ke-14 di U2, Wisma Darul Iman pada hari Rabu, 25 November yang lalu.

Justeru itu, beliau berharap Ahli YB mengambil perhatian dengan pendekatan yang dibuat oleh DUN.

Selain itu, Dato’ Yahaya menambah, di negeri Terengganu terdapat beberapa pilihan dalam soal pemakaian Ahli YB yang hadir dalam sidang DUN.

“Yang pertama adalah berpakaian ‘Lounge Suit’ lengkap yang sama warna, bertali leher dan boleh bersongkok ataupun berkopiah dan yang kedua boleh pakai ‘Mandarin Collar’ sama tetapi tidak bertali leher leher  dan boleh bersongkok ataupun berkopiah

“Dan yang ketiga ialah pakaian kebangsaan sama ada bersongkok atau berserban lengkap. sebab itu saya nak pastikan selepas ini perkara ini tidak berbangkit ada pelbagai kaedah cara berpakaian,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga mengajak semua Ahli YB sama-sama berganding bahu membantu rakyat yang terjejas banjir.

“Saya mendapat maklumat di sesetengah kawasan sekarang ini berlaku banjir  dan ada yang telah dipindahkan.

“Jadi marilah kita berdoa semoga rakyat negeri kita  dilindungi Allah SWT  daripada malapetaka banjir, insya Allah semuanya selamat,” tambahnya.


Tag: