• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Lebih RM24 Juta Untuk Kebersihan Bandaraya Kuala Terengganu

Dr Alias (kiri) menyampaikan sumbangan hari raya kepada petugas kebersihan MBKT di Bengkel Pulau Kambing semalam.
KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM24 juta untuk menjaga kebersihan bandaraya Kuala Terengganu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, peruntukan itu tidak termasuk perbelanjaan kebersihan di daerah  lain di seluruh negeri Terengganu.

"Kerajaan membelanjakan lebih RM24 juta untuk bandaraya Kuala Terengganu sahaja, tidak termasuk daerah lain.

"Bayangkan berapa jumlah peruntukan  yang kerajaan peruntukkan untuk  kebersihan jika dikira di seluruh negeri Terengganu," katanya.

Dr Alias Razak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam pertemuannya dengan petugas kebersihan MBKT di Pulau Kambing, di sini semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Haji Shahidan Embok dan Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, kerajaan telah melantik 27 syarikat termasuk 22 syarikat kebersihan dan syarikat kutipan (lima) bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, syarikat kebersihan bertanggungjawab untuk menyapu sampah ditinggalkan peniaga dan orang ramai di tempat awam yang mengambil masa kira-kira setengah jam di sesuatu tempat.

Manakala syarikat kutipan pula bertanggungjawab mengutip sampah sarap dari tong sampah yang disediakan di kawasan taman perumahan, di tepi jalan raya dan lorong kampung di seluruh bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, syarikat-syarikat berkenaan bertanggungjawab membantu MBKT melaksanakan kerja-kerja kebersihan di bandaraya tersebut.

"Bagaimanapun usaha ini tidak akan mencapai matlamat sekiranya tidak ada kerjasama dari semua pihak termasuk peniaga Chow Kit Ramadan di Taman Shah Bandar," jelasnya.

Haji Shahidan Embok
Sementara itu, Haji Shahidan bersama beberapa orang kakitangan MBKT mengadakan tinjauan operasi pungutan sampah di Wakaf Mempelam dan Taman Shah Bandar.

Tinjauan mendapati orang ramai tidak menggunakan sepenuhnya tong yang disediakan dan masih ada sampah sarap yang dibuang merata tempat.

Haji Shahidan berkata, ia bergantung kepada sejauh mana orang ramai mempunyai kesedaran sivik bagi memastikan kebersihan awam sentiasa dijaga.

"Orang kita kurang mempunyai kesedaran sivik, sebab itu kita kuatkuasakan undang-undang membuang sampah merata-rata supaya mereka beringat tentang tanggungjawab mereka terhadap kebersihan," jelasnya.

Tag: