• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Legasi Dan Keunikan Cina Peranakan Terengganu Sejak Tujuh Abad

KUALA TERENGGANU, 8 Februari – Legasi sejarah dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina Peranakan Terengganu membawa pelbagai keunikan hasil asimilasi sejak kedatangannya pada abad ke-14 hingga ke-17.

Dekan Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Lua Pei Lin berkata, keturunannya yang berasal dari daerah Fujian, China, merupakan hasil adaptasi dan asimilasi dengan budaya gaya pakaian, makanan dan percakapan komuniti Melayu Terengganu.

“Ramai bertapak di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang (17Km dari bandaraya Kuala Terengganu), Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan tempat asal saya di Kampung Batu Enam.

“Sejak itu, kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, contohnya seperti pemakanan di mana keturunan kami makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan. Makan nasi pun boleh dengan tangan.

“Dari segi percakapan pula, kita mahir guna loghat atau dialek Terengganu seperti ‘guane gamok’, ’dokrok cetong’,” katanya ketika bersiaran langsung menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA, semalam.

Tambahnya yang juga generasi kelima keturunan tersebut, budaya pemakaian juga menerima pengaruh Terengganu seperti perempuan kebaya potong kot ikonik dengan Masyarakat Cina Peranakan Terengganu, manakala lelaki menyarung kain pelikat.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan jika gagal mewarisi legasi identiti Cina Peranakan menghadapi peredaran masa kerana ramai yang berhijrah ke luar Terengganu berikutan tuntutan kerja.

“Namun begitu, salah satu usaha bagi mengekalkan khazanah tersebut melalui Persatuan Peranakan Cina Terengganu bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di dalam negeri.

“Setiap tahun juga ada Festival Cina Peranakan yang diadakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu di mana pameran dan persembahan budaya dianjurkan sebagai tanda meraikan warna-warni budaya ini.

Jelas Dr Lua berkenaan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2021, walaupun dalam keadaan pandemik dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), perayaan tersebut akan diraikan secara sederhana meneruskan adat budaya dan bangsa.

Sumber foto : Prof Dr.  Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi UniSZA