lightning-solid
Berita :
Lelaki Miliki 16 Ekor Burung Bayan Puling Bernilai RM80,000 Ditahan
Lelaki Miliki 16 Ekor Burung Bayan Puling Bernilai RM80,000 Ditahan
Hafiz Rosli
12 Nov 25
598

KEMAMAN, 12 November - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki 16 ekor burung dilindungi secara haram yang dianggarkan bernilai RM80,000 di sebuah premis di Kijal, petang semalam. 

Lelaki berusia 34 itu ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan pasukan Polis Marin dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, kira-kira pukul 3 petang. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Assistant Komisioner Polis Zulafendi Hassan berkata, hasil pemeriksaan menemukan 16 ekor burung disyaki Bayan Puling yang merupakan spesies yang dilindungi. 

“Hasil soal siasat awal mendapati lelaki itu mengaku memiliki burung tersebut dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit daripada Perhilitan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Tegas Zulafendi, tindakan memiliki, menyimpan atau memperdagangkan hidupan liar merupakan kesalahan yang serius dan boleh dikenakan hukuman berat. 

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Perhilitan memandangkan serius isu ini dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan