• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Lepasan Sarjana Kimia Nekad Usahakan Tanaman Cendawan



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 16 Februari- Keputusan yang dibuat wanita ini untuk mengusahakan tanaman cendawan ternyata berhasil selepas dia kini mampu memiliki perusahaan sendiri.

Rusila Yusof  yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Fatisha Agro Farm nekad menceburi perusahaan cendawan sejak 13 tahun lalu melihatkan bidang tersebut boleh menjadikan dirinya seorang usahawan berjaya sekiranya ada kesungguhan.

Biarpun memiliki kelulusan sarjana dalam bidang Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Rusila berkata disebabkan nasib tidak menyebelahinya untuk mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya sebaik menamatkan pelajaran, lantas dia bertekad menceburi bidang berkenaan berbekalkan modal serta dorongan kuat dari kakaknya.

"Pada awalnya saya buat di Bangi di belakang rumah dengan modal yang sedikit sahaja, sambil pada masa itu (13 tahun lepas) saya mengajar di Universiti Pertahanan Malaysia.

"Dengan duit mengajar secara sambilan itu juga saya dapat menambah modal untuk tanaman cendawan yang saya usahakan ketika itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di tempat perusahaan cendawannya di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), baru-baru ini.


Turut hadir didalam lawatan berkenaan, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Zakiah Alias.

Menurutnya, selepas tamat kontrak dengan universiti berkenaan dia terus menumpukan perhatian pada perniagaan cendawan sepenuhnya di Selangor sebelum berpindah ke Kemaman.

Katanya, invididu yang beminat dengan perusahaan cendawan sebenarnya boleh bermula dengan modal yang kecil.

"Sebenarnya cendawan boleh ditanam di rumah, tidak perlu tempat yang luas dan bahan asasnya ialah habuk kayu, dedak serta kapur pertanian.

“Bagi yang ingin menceburi secara serius boleh memohon modal dengan pihak berkaitan termasuk pejabat pertanian dan sebagainya,” ujarnya.

Tag: