• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Kerajaan negeri menyeru semua lapisan masyarakat khususnya kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melihat sektor pertanian sebagai sektor penting sama ada mereka yang terlibat secara sara diri ataupun komersial.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka hendaklah membuat satu perubahan dan menjadikan bidang ini diberi perhatian khusus.

“Kerajaan sedang bergerak cergas untuk memajukan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penting dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang berakhir pada 2030.

“Dalam titah ucapan Diraja dalam sidang DUN yang lepas, Tuanku Sultan Mizan juga telah mengisytiharkan tahun 2021 sebagai tahun pertanian negeri Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kursus Pertanian Bandar yang dianjurkan oleh NGO Muafakat Sejahtera bersama Pejabat Pertanian Negeri di Pertanian Bandar, baru-baru ini.

Menurutnya, dari segi komersial sebagai sumber pendapatan, manakala secara sara diri bagi menggalakkan makanan berkhasiat dari rumah serta mengelakkan makanan yang menggunakan bahan kimia dan membahayakan kesihatan.

"Apa yang kita mahukan hasil daripada kursus ini adalah kesedaran dalam kalangan peserta mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan mulakan bercucuk tanam di rumah contohnya dengan kaedah teknologi moden tanpa memerlukan tanah yang luas.

"Dalam pertanian kita hanya perlu memahami dari segi teknologinya seterusnya manfaatkan barang yang ada di seliling  rumah untuk bercucuk tanam," tambah Yahaya.