• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Lima Keluarga Gembira Terima Kunci Rumah PPRT

DUNGUN, 25 November- Lima keluarga yang terpilih bagi mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) gembira setelah menerima kunci kediaman masing-masing.

Seorang penerima, Che Wan Jamsari Che Wan Mohamad, 38, berkata detik tersebut telah dinantikan sekian lama kerana selama ini hanya menumpang di rumah ibu bapa bersama isteri, Nosuhaila Ramli, 41, bersama empat orang anak.

"Saya sangat bersyukur terima rumah ini, dahulu pernah memohon tapi dimaklumkan tiada kekosongan kemudian melakukan permohonan sekali lagi pada tahun 2018. Alhamdulillah ada rezeki saya pada tahun ini.

"Gembiralah sebab dapat mendiami rumah sendiri kerana sebelum ini tinggal dengan emak dan ayah, dalam rumah tersebut ada tiga buah keluarga jadi tidak sesuai kerana semua telah ada anak yang dewasa," ujarnya ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT Chemuak yang telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan juga Penghulu Mukim Jengai, Yulandee Che Mohd.

Sementara itu Ghazali berkata, penyerahan kunci berkenaan amat bermakna buat lima keluarga berkenaan yang selama ini didapati menumpang rumah ibu bapa serta ada yang tinggal menyewa.

"Juga disegerakan kerana ada diantara peserta yang mana apabila hujan lebat rumah mudah dinaiki air, jadi paling tidak masalah dihadapi kelima-lima mereka telah selesai.

"Harapan saya memandangkan rumah PPRT ini dibina saling berdekatan maka perlu diwujudkan suasana yang harmoni, boleh bertolak ansur dan saling bekerjasama untuk bergotong-royong dan pelbagai aktiviti yang lain untuk manfaat bersama ke arah kesejahteraan," ujarnya.


Tag: