• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lima Pemilik Premis Perniagaan Dikompaun RM1,000

KUALA TERENGGANU, 4 Februari- Lima pemilik premis melibatkan tiga kedai menjual telefon, karpet (1) dan pemborong (1) dikenakan tindakan kompaun RM1,000 seorang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu selepas didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tiga kompaun dikeluarkan di daerah Kemaman manakala dua lagi di Kuala Terengganu.

Katanya, kesemua pemilik perniagaan tersebut dikompaun kerana melanggar PKP iaitu di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021. 

"Kesalahan yang dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri, gagal menyediakan peralatan suhu dan gagal mengawal laluan masuk 
pelanggan tanpa merekodkan maklumat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

"KPDNHEP yang telah diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 8 Mei 2020," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pengusaha perniagaan dan orang ramai diharap agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak COVID-19 

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah dan melanggar SOP yang ditetapkan.

"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.