• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Limpahan Air Di Tasik Kenyir Normal

HULU TERENGGANU, 7 Januari - Limpahan air yang berlaku di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir merupakan situasi normal setiap kali tiba monsun timur laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd, berkata hasil tinjauan hari ini menunjukkan ada berlaku kenaikan air namun orang ramai tidak perlu panik atau takut  dengan fenomena itu.

"Ia adalah perkara normal dan berlaku setiap tahun dan sehingga hari ini aktiviti pelancongan masih berjalan seperti biasa.

"Pihak berkaitan sentiasa membuat pemantauan terhadap sistem keselamatan di Tasik Kenyir dan akan memaklumkan jika ada berlaku perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita setelah membuat tinjauan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini hari ini.

Dalam pada itu, salah seorang pengusaha bot laju, Indra Irwana Deraman, 41, yang ditemui berkata, air mula melimpah ke tempat letak kereta sekitar jam 8 malam pada hari Ahad.

Katanya, paras air tasik mula meningkat selepas hujan lebat melanda kawasan tersebut secara berterusan sejak empat hari.

"Saya memang terkejut bila tengok keadaan semalam sebab dah beberapa tahun ia tak berlaku sejak 2014 dan 2017.

"Namun setakat pagi ini, keadaan masih terkawal jika dibandingkan dengan banjir besar pada 2014 sehingga tapak bangunan bebas cukai berhampiran tenggelam ," katanya.

Tambah Indra lagi, jika limpahan berlaku, dia dan rakan-rakan terpaksa menambat bot-bot dan rumah bot mereka supaya tidak hanyut ke daratan.

"Jika bot kami terdampar di daratan, ia akan menyukarkan untuk dibawa turun kembali kedalam air terutama rumah bot yang memerlukan masa dan tenaga," ujarnya.


Tag: