• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Liridon, Habib 'Hilang' Aksi Sumbangsih

KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Tonggak tengah pasukan Terengganu FC, Habib Haroon bakal terlepas aksi Piala Sumbangsih 2023, pada 24 Februari ini apabila disahkan mengalami kecederaan hamstring oleh pengendali pasukan Tomislav Steinbruckner.

"Habib Haroon cedera sebelum perlawanan terakhir di Bangkok dan perkembangan terbaru menyatakan Habib akan berehat minimum selama dua minggu, ini menyebabkan dia tidak dapat bermain dua perlawanan terawal menentang Johor DT dan Kedah Darul Aman FC.

"Untuk perlawanan seterusnya, kita akan lihat nanti. 

"Manakala, Faiz Nasir sudah tiga empat minggu tidak bersama kami kerana masalah keluarga, itu sahaja. Bagaimanapun, Faiz sudah mula turun berlatih dengan melakukan program latihan individu semalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Black and White Day Terengganu Football Club 2023 di Dataran Shahbandar yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Menurut Tomislav, kemasukan pemain tengah naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi bakal mengukuhkan 'kemudi tengah' pasukannya.

"Sebelum ini, saya juga ada minta CEO Terengganu FC datangkan pemain tengah menyerang seperti Liridon kerana kita perlu tingkatkan kemampuan serangan.

"Jadi, saya harap beliau dapat menjadi salah satu tonggak pasukan kami terutama dalam mencipta peluang dan kadang-kadang menjaringkan gol dan saya mengharapkan aksi lebih baik dari beliau," katanya.

Tambahnya, Liridon tidak akan bermain dalam aksi Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super kerana persetujuan yang dicapai dalam kontrak pinjaman pemain itu antara pasukan Johor DT dan Terengganu FC.

Tomislav kini dalam fasa terakhir dan sudah memiliki senarai kesebelasan utamanya untuk aksi liga nanti. 

"Ya, saya sudah ada pemain utama ketika ini, tetapi kita ada satu minggu lagi sebelum bertemu Johor DT, kami akan menentang kelab divisyen ketiga (Liga M3), Persada Integriti Bersatu (PIB FC) dalam aksi pra musim terakhir esok, apa sahaja boleh berlaku jika dilihat kepada kecederaan dan lain-lain.

"Kadang-kadang ketika saya tidak berpuas hati dengan satu-satu pemain, saya akan melakukan rombakan ketika itu, tetapi sekarang saya ada senarai pemain utama dan saya harap kita akan dapat hasil terbaik dalam perlawanan (Piala Sumbangsih) itu," katanya.

 


Tag: