• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Litar Lumba Gong Badak Kejayaan Besar Atasi Masalah Lumba Haram

Menteri Besar beramah mesra dengan peserta selepas melancarkan pelepasan Drag Challenge 2018, di Litar Lumba Gong Badak,  Kuala Nerus, tengah malam tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Litar Lumba Gong Badak, Kuala Nerus antara kejayaan terbesar Negeri Terengganu kerana mampu menarik minat golongan muda yang gemar berlumba melakukan aktiviti itu mengikut peraturan dan tidak lagi menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kemudahan itu antara inisiatif kerajaan untuk membendung masalah 'mat rempit' dan perlumbaan haram di jalan raya serta kawasan awam sejak beberapa tahun yang lalu.


"Bukan sahaja dapat mengatasi masalah perlumbaan haram, litar lumba itu juga memberi ruang kepada peminat permotoran menonton perlumbaan dengan selamat,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan acara pelepasan Drag Challenge 2018, di Litar Lumba Gong Badak,  Kuala Nerus, tengah malam tadi.

Ahmad Razif turut bertemu dan berbual mesra dengan anak muda yang  mengunjungi litar berkenaan.

Kira-kira 2,000 pengunjung teruja menyaksikan perlumbaan di kalangan jaguh-jaguh sukan permotoran dari seluruh negeri beraksi.


Sementara itu kumpulan geng 'ABIEL 66' dari Chukai, Kemaman, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana begitu prihatin kepada minat orang muda dengan mengilhamkan sebuah litar permotoran yang hebat dan lengkap.

"Kemudahan litar ini dapat mengubah mat rempit menjadi pelumba trek yang hebat, kami rasa lebih selamat belumba di litar daripada menjadi pelumba jalanan yang mengundang pelbagai risiko keselamatan awam," katanya.

Tag: