• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Lockdown' : Pasar Raya Ditutup Kecuali Premis Jual Keperluan Asas

PUTRAJAYA, 30 Mei - Kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya jualan makanan dan  keperluan asas sepanjang tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, bermula Selasa depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan premis yang dibenarkan melibatkan bahagian makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart' dan restoran untuk bawa pulang serta penghantaran ke rumah.

Katanya, pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, 'mini mart', kedai runcit dan 'departmental store' boleh dibuka dengan terhad kepada seksyen makanan, minuman serta keperluan asas saja.

"Antara sektor lain yang dibenarkan beroperasi adalah restoran, gerai makan, kedai dobi, kedai cermin mata termasuk aktiviti e-dagang membabitkan semua kategori produk, serta pemborongan dan pengedaran untuk semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja.

"Semua sektor perniagaan itu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ketika memperincikan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan, hari ini.

Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti kenderaan.

 

 

 

 

 

  


Tag: