• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

LPT Sedia 1,160 Petugas Sempena Cuti Akhir Tahun

KUALA TERENGGANU, 29 Disember - Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sdn. Bhd. menyediakan 1,160 petugas sempena cuti akhir tahun 2020.

Langkah itu dibuat bagi memantau pergerakan pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijangka meningkat dalam fasa sekarang.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pihaknya akan memastikan orang ramai dapat menggunakan lebuh raya berkenaan dengan selamat.

“Pelanggan lebuh raya dijamin bukan sahaja dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa.

“Malah dapat menikmati kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24-jam yang sedia ada di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd., Zakaria Ahmad Zabidi memaklumkan, semua petugas terbabit ditempatkan di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pelanggan lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan. 

“Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol pada musim cuti akhir tahun ini.

“LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan lima R&R serta empat hentian sebelah yang memudahkan pelanggan untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka. 

“Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24-jam sehari,” jelas Zakaria.

Tambah beliau, musim tengkujuh yang melanda negara di beberapa buah negeri di Pantai Timur juga kerap menyebabkan laluan pesisir negeri atau persekutuan mengalami banjir. 

“Justeru itu, kami menyarankan kepada pelanggan yang terjejas sewaktu musim tengkujuh supaya menggunakan lebuh raya LPT2 sekiranya laluan pesisir negeri atau persekutuan ditutup atau tenggelam yang berpunca akibat banjir untuk meneruskan perjalanan mereka ke Terengganu, Kuantan atau Lembah Klang,” ujarnya.
 


Tag: