• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

LTdL 2018: Penduduk Terengganu Teruja Saksi Saingan



 Peluang menyaksikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang menamatkan peringkat ketiga semalam tidak dilepaskan segelintir penduduk Terengganu.

Mohd Zakri Ibrahim, 37, yang berkerja sebagai penyelenggara elektrik di Kuala Nerus mengakui teruja dengan acara gemilang yang jarang disaksikan secara langsung di depan mata sendiri.

"Saya membawa anak- anak datang untuk memberi pengalaman menyaksikan acara peringkat antarabangsa ini. Saya harap kerajaan negeri akan terus jadi penganjur kerana Terengganu merupakan pengeluar bakat atlet basikal negara," katanya yang ditemani dua anaknya.

Manakala, Zaharatul Aini Mohd Albakri,42 dari Pulau Pinang pula tidak menyangka kunjungannya ke Kuala Terengganu memberikan pengalaman berharga apabila berpeluang menyaksikan persaingan beberapa pelumba yang menamatkan perlumbaan di bandar Kuala Terengganu.

"Ini kali pertama saya saksikan LTdL. Ia sangat mengujakan kerana dapat melihat sendiri kelajuan dan semangat pelumba di garisan penamat," katanya.


Bagi Zarif Syahmi Mohd Othman, 11, yang mengunjungi lokasi persaingan ditemani bapa dan sepupunya, Mohd Farish Mohd Rosdi,10, pula mengimpikan untuk menjadi pelumba negara suatu masa nanti.

"Seronok dapat lihat LTdL, saya sangat bersemangat dan mahu jadi seperti mereka suatu hari nanti," katanya.

LTdL 2018 akan memulakan peringkat keempat bermula di Dungun pagi ini.

Tag: