• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

LUHAM Saran 'Standing Orders' Ditulis Rumi

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Terengganu (LUHAM) cawangan Terengganu menyarankan agar Buku Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun dipanggil ‘Standing Orders’ ditulis dalam rumi.

Pengerusinya, Mohd Kamaruzaman Ab Wahab berkata, sebelum ini, DUN Terengganu menggunakan Undang-undang dan Perintah Tetap Dewan yang telah digubal pada tahun 1960.

“Saya mencadangkan supaya diwujudkan satu salinan naskah dalam bahasa Melayu bertulisan rumi.

“Naskah yang ada melibatkan peraturan dan perintah tetap DUN Terengganu sekarang ini adalah dalam Bahasa Inggeris dan juga dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi.

“Jadi tidak ada lagi dalam bentuk naskah yang disahkan yang bertulisan rumi dan Bahasa Melayu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Merintis Keunggulan Legislatif Terengganu bersama Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali di Hotel Paya Bunga, baru-baru ini.

Katanya, perjalanan dewan setakat ini berjalan dengan lancar dan tersusun dengan baik.

“Dari sudut undang-undang itu memang perlu diperbaiki dan ditambah baik . 

“Saya dan beberapa ahli jawatankuasa mencadangkan beberapa  penambahbaikan peraturan supaya perjalanan dewan berjalan lebih baik,” ujarnya.

Kamaruzaman menambah, ia penting kerana  Ahli–ahli DUN dapat merujuk kepada buku Peraturan dan Perintah Tetap Dewan.

“Saya juga mencadangkan mewujudkan satu jawatankuasa  khusus Peraturan dan Perintah Tetap DUN bagi membuat mesyuarat untuk menambah atau menunda peraturan-peraturan yang ada bagi menambah baik lagi peraturan yang ada.

“Saya percaya peraturan itu dah baik cuma tambah untuk jadi lebih baik,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa penambahbaikan pada pentadbiran DUN seperti penambahan pegawai untuk memastikan perjalanan dewan berjalan secara lebih teratur, penambahbaikan dari sudut peraturan perbahasan yang mantap, matang dari ahli-ahli DUN dan bersifat akademik.

“Mungkin dengan kewujudan komuniti-komuniti tertentu boleh membantu DUN ini menjalankan kerja ‘semak dan imbang’.

“Contohnya perlu ada jawatankuasa ‘nisbah’ yang boleh menjalankan kerja semak dan imbang dengan lebih baik,” tambahnya.

Justeru itu, beliau berharap dengan penambahbaikan tersebut dapat membantu ahli–ahli DUN menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan mantap serta memberi faedah kepada rakyat.


Tag: