Foto: Terengganu Football Club
KUALA NERUS, 27 Februari - Pasukan Terengganu FC sekali lagi tumpas di tangan Kuala Lumpur City FC, kali ini dengan perbezaan jaringan 0-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/2026, hari ini.
Setelah dikecewakan dalam saingan Piala Malaysia oleh lawan sama baru-baru ini, skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassam turun dengan misi untuk memungut tiga mata di halaman sendiri.
Perlawanan bermula seimbang pada separuh masa pertama sehingga pada minit 36, apabila penyerang kelahiran Curacao, Gervane Kasteneer menjaringkan gol pendahuluan buat tuan rumah.
Namun, jaringan tersebut dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih kerana Kasteneer dikatakan mengasari pemain lawan sebelum jaringan dilakukan.
Perlawanan kekal tanpa sebarang jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Sang Penyu cuba menekan lawan dengan lebih agresif, tetapi tidak berjaya menghasilkan jaringan.
Pada minit ke-61, bermula dari kesilapan barisan pertahanan dan penjaga gol Terengganu FC yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan sendiri membawa padah.
Ryan Lambert yang melihat ruang di belakang pertahanan, melakukan lorongan 'melepaskan' Antonio Gomes Aju dari kawalan pemain tuan rumah.
Pemain tengah Kuala Lumpur City FC itu kemudian mudah menyudahkan peluang terhidang, meletakkan pelawat di depan.
Perlawanan berlangsung hangat, namun tiada jaringan tambahan dihasilkan dan Kuala Lumpur City FC muncul pemenang dengan jaringan tunggal Gomes Aju.
Berada di kedudukan kelima, Terengganu FC terlepas peluang merapatkan kedudukan dengan Kuching City FC ditempat ketiga dan kekal dengan 28 mata.
Manakala, Kuala Lumpur City FC naik ke kedudukan kedua liga, satu mata di atas Selangor FC yang akan menentang Melaka FC, esok.