• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lulus Peruntukan RM1 Juta Untuk Tambah Tong Sampah

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menambah bilangan tong sampah di kawasan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil untuk menyelesaikan masalah longgokan sampah yang berlaku di beberapa lokasi.

"Alhamdulillah sudah banyak PBT yang  selesai membeli tong sampah tambahan sekali gus mengelakkan isu sampah daripada terus terjadi.

"Namun, saya difahamkan masih ada lagi PBT yang belum menyelesaikan urusan pembelian, saya harap ia disegerakan memandangkan ini adalah masalah rakyat dan peruntukan sudah lama diberikan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Jelas Dr Alias, kerajaan negeri juga akan melantik kontraktor penyelamat di daerah kritikal seperti Kuala Terengganu.

"Proses pelantikan sedang diuruskan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), insya-Allah akan selesai segera bagi membantu kontraktor sedia ada yang tidak mampu menguruskan dengan baik," ujarnya.

Katanya Dr Alias, pihaknya turut mengarahkan semua PBT supaya meletakkan tong sampah roro di lokasi yang mempunyai penduduk ramai.

"Langkah ini perlu dibuat terutamanya pada musim perayaan dan cuti umum, dua waktu ini bilangan penduduk akan meningkat mendadak," katanya.

Dalam perkembangan sama Dr Alias memaklumkan, kerajaan Terengganu juga bercadang untuk membuka 'transfer station' sampah sementara.

Katanya, inisiatif itu akan memudahkan operasi kutipan sampah pada hari Aidilfitri, Aidiladha, perayaan lain dan cuti umum.

"Mengambil iktibar pada Hari Raya Aidilfitri lalu, sampah yang dikutip mengambil masa yang lama untuk sampai ke pusat pelupusan akibat kesesakan jalan raya, ini menyebabkan sampah lain tidak dapat dikutip mengikut jadual.

"Jadi apabila 'transfer station' dibuka, sampah yang dikutip akan dihantar ke situ terlebih dahulu, kemudian petugas akan meneruskan kutipan sampah di kawasan lain, sampah di 'transfer station' akan dihantar ke tempat pelupusan pada masa yang tidak berlaku kesesakan jalan," ujarnya.

Jelas beliau, tapak cadangan bagi pembukaan 'transfer station' adalah di sekitar kawasan Bukit Besar.

"Di sana ada tanah kerajaan yang belum dibangunkan, kita sudah melihat tapak itu dan sangat sesuai dibuka di sana," tambah beliau.


Tag: