• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Maahad Tahfiz Asy-Syatibi Terbangun Hasil Sumbangan Orang Ramai

Abdul Hadi Awang (kanan) menyerahkan sumbangan beliau kepada Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.
MARANG, 29 Mac - Pelbagai sumbangan diperuntukkan oleh orang ramai yang prihatin untuk tujuan pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi.

Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang berkata, maahad itu yang dibina dengan kos RM1.63 juta merupakan antara institusi yang bakal memahamkan orang ramai tentang konsep Islam sebenar.

Jelasnya, ada sekumpulan generasi dan masyarakat hari ini memahami Islam dengan fahaman songsang yang jauh dari konsep asal dalam al-Quran.

Berucap merasmikan bangunan maahad tahfiz.
“Kerja kita adalah untuk ajak manusia balik kembali pada Islam, maka kita buka sekolah seperti ini (maahad tahfiz), untuk anak didik kita dekat dengan al-Quran, hafal dan beramal dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payung, di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh serta Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Asy-Syatibi, Mohd Nasir Ismail.


Beliau turut berkata, penganut Islam yang sudah mula memahami agama dengan betul kini mula menjadi serangan musuh.

Justeru, orang Islam seharusnya meneruskan kebangkitan itu dan tidak terpengaruh atau takut dengan ancaman pembenci Islam.

“Sekarang ini, musuh-musuh Islam berada dalam keadaan yang gelabah, huru-hara, takut orang Islam balik kepada Islam.

“Berlaku pembunuhan orang Islam di sana sini, takutnya mereka kepada kebangkitan Islam,” tambah beliau.



.


Tag: