• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Mahasiswa Tidak Boleh Jadikan Media Sosial Sebagai Rujukan

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Golongan mahasiswa tidak wajar menjadikan media sosial sebagai rujukan utama tetapi mereka mesti kembali kepada ilmu dalam bentuk yang teratur supaya dapat maklumat yang tepat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, oleh sebab itu, mereka perlu membaca dan membuat kajian yang memberikan satu inovasi kepada masyarakat.

“Mereka tidak boleh melihat ilmu dalam konteks untuk lulus peperiksaan semata-mata tetapi masyarakat di luar sana mengharapkan sesuatu yang lebih tinggi dan bermakna.

“Saya juga melihat golongan mahasiswa yang diharapkan masyarakat ialah mereka yang kritis dari segi pemikiran dan mesti mengikuti sama perkembangan –perkembangan yang ada samada dalam masyarakat kampus ataupun luar kampus,” jelasnya.

Yahaya berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM selepas perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network Sdn.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di Gong Badak, pada semalam.

Selain daripada itu, beliau turut menekankan golongan mahasiswa mesti mempunyai maklumat dan pengetahuan baik dari segi sejarah.

“Sebab kadang-kadang kalau golongan mahasiswa tidak mempunyai maklumat yang baik dalam sejarah mereka tidak dapat mengambil satu sikap dan benda baik  bila bertembung dengan isu-isu semasa yang ada dalam negara kita ini.

“Ini penting supaya golongan mahasiswa melayu Islam ini kena tahu sejarah dan mereka tahu kemana batasnya apabila mereka nak memperjuangkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mahasiswa mesti mempunyai jati diri sebagai seorang Islam walaupun diiktiraf sebagai golongan berpendidikan tinggi.

“Ini sangat penting. Kita mahu jati diri mahasiswa  ini bukan sahaja di fahami tapi di perlihatkan dalam tindak tanduk mereka.

“Mesti ada dalam diri seorang Islam agar mereka tidak mudah hanyut apabila ada isu-isu yang mereka hadapkan dalam konteks  yang ada dalam negara kita ini supaya apa yang dikatakan  pengaruh fahaman sekular itu tidak tumbuh dalam masyarakat mahasiswa di mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT),” tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau berharap para pelajar tidak terpengaruh dalam suasana masyarakat majmuk yang berlaku pertembungan ideologi dan juga pemikiran.