• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Mahu Jumpa Isteri Lain, Alasan Mohon Rentas Negeri

KUALA TERENGGANU, 7 Jun -  Menziarahi isteri lain antara alasan segelintir warga Terengganu ketika memohon permit pergerakan untuk merentasi  negeri dalam tempoh bermula 4 Mei sehingga hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata  ia tidak ada masalah, hanya perlu menunjukkan surat atau dokumen yang berkaitan dan pihaknya akan menggunakan budi bicara jika lelaki yang mempunyai lebih satu isteri mahu melawat isterinya yang lain.

Jelasnya, pada mulanya, mereka ini tidak mahu memberikan tujuan asal keperluan merentas negeri namun akhirnya akur dan pihak Polis memberi kebenaran dengan melihat beberapa faktor.

“Ada yang memohon permit ini dengan alasan nak balik ke rumah isteri nombor dua atau tiga.Mereka datang jumpa dan bagi tahu yang isteri ada di sini seorang dan di sana seorang malah ada satu kes, di Terengganu dua orang dan di Johor seorang.

“Namun alasan yang paling popular dalam permohonan permit adalah  berkaitan dengan urusan kerja,” katanya kepada pemberita di sidang media pencapaian Op Mule Siri 2/2020 JSJK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua JSJK Terengganu, Superintendan M.Zambri Mahmud.

Beliau turut berkata, pihaknya menerima hampir 500 hingga 700 permohonan permit merentas negeri setiap hari  sepanjang tempoh ini

"Semalam sahaja, kita menerima 748 permohonan dengan pelbagai alasan namun enam daripadanya ditolak kerana gagal memberi alasan munasabah seperti tidak mengemukakan surat sokongan daripada majikan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Roslee berkata sepanjang PKPB berlangsung, sebanyak 65,845 kenderaan yang ingin memasuki negeri ini telah diperiksa melalui sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan.

“Yang diarahkan pusing balik sebanyak 297 buah  dan  dalam tempoh itu juga sebanyak 33 kompaun dikeluarkan  kerana tidak mempunyai  surat atau  permit untuk rentas negeri.

“Sebagaimana yang telah saya beritahu, kita ada buat satu SJR di Perasing dan di Kemaman memang kita ada tiga SJR, bila dia orang masuk,  kita lencong ke RnR Perasing, di situ kita tapiskan 100 peratus. Tidak ada surat,ada kita bagi kompaun termasuk  disuruh patah balik,”katanya.
 


Tag: