• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

Bantuan Zakat Untuk Asnaf Diagih Minggu Depan

KUALA TERENGGANU, 14 April - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan menyalurkan Bantuan Zakat Ramadan sebanyak RM13,495,300 melibatkan seramai 22,857 Ketua Isi Rumah (KIR) dari golongan asnaf.

Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata pengagihan ini akan bermula pada minggu hadapan.

"MAIDAM memahami kesusahan yang dihadapi oleh asnaf dalam menghadapi bulan ramadhan al-mubarak, lebih-lebih lagi wabak Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya,

"Oleh itu, kadar bantuan zakat dinaikkan dari RM400 kepada RM500 bagi bilangan isi rumah tiga  orang dan ke bawah termasuk KIR manakala bagi isi rumah empat orang ke atas, kadarnya dinaikkan dari RM600 kepada RM700,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, bayaran akan  terus dimasukkan kepada akaun bank penerima bermula minggu hadapan bagi meringankan sedikit bebanan yang perlu dihadapi oleh asnaf, penerima bantuan MAIDAM.

 


Tag: