• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

MAIDAM Salur RM3.6 Juta Kepada Asnaf Terkesan COVID-19

KUALA TERENGGANU, 16 November - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM3.6 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dikuatkuasakan kerajaan bermula Isnin lalu sehingga 6 Disember depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, melalui bantuan segera itu, seramai 638 Ketua Isi Rumah (KIR) akan menerima wang tunai sekali bayaran berjumlah RM300.

Menurut beliau, bantuan wang tunai secara sekali bayaran itu disalurkan melalui peruntukan sumber am kepada golongan asnaf dengan menepati syarat ditetapkan iaitu penerima bantuan bulanan dan bantuan persekolahan yang mempunyai tanggungan anak bersekolah lebih daripada tiga orang berusia lima tahun hingga 17 tahun. 

"Tiada syarat ketat atau borang permohonan bantuan perlu disahkan kerana senarai penerima dikenal pasti melalui saringan berdasarkan rekod yang terdapat dalam sistem zakat dan bayaran.

"MAIDAM akui golongan asnaf amat terkesan dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19, susulan PKPB dikuatkuasakan kerajaan," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda pada program menyantuni pengayuh beca di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, seramai 13 orang pengayuh beca yang aktif menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan dapur bernilai RM100 seorang. 

M.Rozi menambah, bantuan lain disalurkan kepada 20,000 golongan asnaf adalah silinder komposit gas petroleum cecair (LPG), yang setiap satunya berkapasiti 14 kilogram bernilai RM155 setiap unit. 

"Bantuan itu disalurkan bagi meringankan beban golongan asnaf untuk mendapatkan keperluan gas memasak susulan pemantuhan PKPB. 

"Bagi membantu kerajaan mengalakkan masyarakat tidak keluar rumah bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik COVID-19, silinder komposit itu akan dihantar terus ke rumah penerima secara berperingkat, " katanya.

Sementara itu M.Rozi berkata, golongan terkesan termasuk usahawan susulan penularan COVID-19 sehingga menyebabkan kerajaan menguatkuasakan PKPB boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui borang dalam talian. 


Tag: