• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

MAIDAM Sumbang 4,000 Topeng Muka Untuk Calon SPM

KUALA TERENGGANU, 11 Februari - Seramai 120 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar menerima 4,000 topeng hidung dan mulut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin berkata, topeng hidung dan mulut itu amat diperlukan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada Isnin depan selepas seorang guru dan dua pelajar sekolah tersebut disahkan positif COVID-19 akhir bulan lalu.

"Melalui semakan dilakukan, hampir 95 peratus ibu bapa calon SPM didapati berkerja sendiri dan pendapatan mereka terjejas susulan pelaksanaan PKP.

"Antara barangan amat diperlukan calon SPM adalah topeng hidung dan mulut untuk menduduki peperiksaan selama tiga hari mulai Isnin depan," katanya

Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan bantuan, termasuk makanan dan minuman ringan bernilai RM3,000  kepada pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali, di sini, hari ini.

Berikutan arahan penutupan sekolah itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) terpaksa ditangguhkan, manakala 18 calon terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah selama 14 hari berakhir Isnin lalu.

Menurut beliau, pihaknya amat prihatin dengan nasib semua calon peperiksaan SPM, terutama 18 calon yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah.

Justeru itu katanya, selain topeng hidung dan mulut untuk 120 calon SPM serta pengurusan sekolah, pelbagai makanan dan minuman ringan turut diberikan untuk keperluan 18 pelajar yang terpaksa tinggal di asrama.


Tag: