• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Majikan Disaran Sokong Amalan Penyusuan Ibu Di Terengganu

Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Foto ihsan - Media MB

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Majikan disaran melaksanakan perlindungan materniti dari segi masa, ruang  dan sokongan  yang merupakan tiang asas kepada tempat kerja yang mesra penyusuan susu ibu dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu di Negeri Terengganu.

 
Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, keperluan pusat penjagaan anak yang berhampiran dengan tempat kerja, atau sekurang-kurangnya disediakan kemudahan untuk memerah dan menyimpan susu perahan termasuk persekitaran kerja perlu sentiasa bersih dan selamat daripada bahan kimia atau bahan buangan yang merbahaya kepada kesihatan mereka.
 
“Sebagai salah satu sokongan kepada para ibu, perlindungan materniti yang disediakan di tempat kerja perlu dimaklumkan kepada mereka termasuk maklumat mengenai penjagaan kesihatan semasa mengandung dan menyusukan bayi supaya mereka boleh bekerja dan menjaga bayi secara serentak tanpa menjejaskan prestasi kerja.
 
 “Sikap positif terhadap penyusuan susu yang ditunjukkan oleh rakan sekerja, pihak atasan dan pihak pengurusan juga merupakan salah satu bentuk sokongan kepada ibu-ibu kerana mereka memerlukan keselamatan pekerjaan dan tidak didiskriminasikan atas sebab mereka adalah wanita, hamil, melahirkan anak dan mengamalkan penyusuan susu ibu,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Penyusuan Ibu Sedunia peringkat Negeri Terengganu 2018 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
 
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pengerusi Puspanita Cawangan negeri, To’ Puan Hajah Kamsiah Dollah.
 

Tuan Faizah berkata, semua usaha dan sokongan ini secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti mereka dan akan menguntungkan semua pihak secara tidak langsung atas kebaikan yang diperolehi dari penyusuan susu ibu.
 
“Penyusuan susu ibu adalah langkah penyelesaian bagi menghindari masalah kelaparan dan ketidak seimbangan nutrisi bagi bagi bayi. Tanpa bebanan pendapatan keluarga, penyusuan merupakan kaedah pemakanan berkos rendah dan boleh menyumbang kepada pengurangan masalah kemiskinan dan ia bertepatan dengan tema pada tahun ini yang menekankan kepentingan untuk menghadapi kemelut ketidaksaksamaan secara global, kemiskinan dan kebolehdapatan asas makanan,” ujarnya.
 
 
Menurutnya lagi, anak-anak merupakan generasi masa hadapan negara dan  makanan terbaik perlu diberikan kepada mereka sejak lahir lagi, iaitu susu ibu kerana ia dapat melindungi bayi daripada pelbagai penyakit semasa mereka masih kecil seperti risiko kegemukan, hiperkolesterolemia dan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes jenis-2 dan hipertensi apabila dewasa.
 
“Maka sangat tepatlah polisi kerajaan yang menyatakan bahawa bayi harus disusukan dengan susu ibu sahaja, iaitu penyusuan susu ibu secara eksklusif dari lahir sehingga berumur enam bulan, dan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.
 
“Ini termasuklah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia khususnya Jabatan Kesihatan Negeri dalam menyokong amalan penyusuan susu ibu di Terengganu iaitu Pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) dan  Inisiatif Klinik Rakan Bayi (KRB) yang bertujuan  membantu para ibu memulakan penyusuan susu ibu semasa di hospital dan semasa mendapatkan penjagaan lanjut di klinik klinik kesihatan selepas bersalin.
 
“Inisiatif ini telah dimulakan semenjak 1993, dan sehingga kini terdapat enam buah hospital di Negeri Terengganu yang telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi, dan semua klinik kesihatan dalam Negeri Terengganu telah menjalankan perkhidmatan Klinik Rakan Bayi menggalakkan penyusuan susu ibu,” ujarnya.    

 


Tag: