• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Majlis Khatan Ramai-Ramai Bantu Ringan Kewangan Ibu Bapa

DUNGUN, 18 Disember - Inisiatif mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai oleh beberapa JPKK DUN Rantau Abang telah berjaya membantu ibu bapa menunaikan tanggungjawab keatas anak-anak yang hampir cukup umur atau akil baligh sekali gus meringankan beban kewangan mereka. 

Seorang ibu muda, Aima Nazuha Ibrahim berkata, memandangkan kos berkhatan yang dikenakan di klinik - klinik swasta adalah tinggi tetapi dengan adanya program yang dianjurkan oleh JPKK sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah sepertinya. 

"Saya bersyukur sungguhlah, bila Pok Husnu (Pengerusi JPKK Gong Pasir) telefon tanya anak hendak berkhatan dok, saya terus jawab 'nok', sebab sebenarnya saya sudah telefon macam-macam klinik , nok cari yang bawah RM200, tetapi tidak ada," katanya sambil memberitahu suaminya hanya bekerja sebagai juru kimpal. 

Aima Nazuha 
bersama anaknya Adam Mikhail Rizqi 

Ibu kepada Adam Mikhail Rizqi Mohd Fairul, 8, yang juga seorang surirumah itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Khatan Beramai-ramai Anjuran JPKK Gong Pasir di Dewan PASTI Gong Pasir di sini baru - baru ini.

Sementara itu bagi, Suliza Salleh, 37, memuji usaha JPKK yang sentiasa memahami masalah ibu bapa yang tidak berkemampuan sepertinya.

"Saya berasa sangat lega, saya lepas tanggungjawab sebab berkhatan ni kan wajib kepada anak lelaki yang hampir akil baligh, mana fikir tidak mampu, sebab suami hanya bekerja sebagai tukang rumah, memang kena banyak berjimatlah," ujarnya. 

Daripada tinjauan didapati antara JPKK yang mengada program tersebut ialah JPKK Kampung Paya, Gong Pasir dan Kampung Rantau Abang dimana hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 atau RM60 sahaja berbanding bayaran di klinik swasta sekurang-kurangnya RM250.

"Kita hanya mengenakan pendaftaran sebanyak RM60, disamping menyediakan cenderahati kain pelekat serta wang tunai," kata Pengerusi JPKK Gong Pasir, Husnu Hussin. 


Tag: