• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Majlis Perbandaran Kemaman PBT Pertama Laksana Pasport Keselamatan

KEMAMAN, 3 Julai - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Semenanjung Malaysia yang melaksanakan sistem pasport keselamatan untuk memastikan keselamatan para pekerjanya serta mereka yang bekerja untuk kontraktor dan vendor MPK.

Yang Dipertua MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata, Pasport Keselamatan MPK (MPK Safety Passport - MPKSP) merupakan kad keselamatan yang dikeluarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) setelah para pekerja menjalani kursus induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Beliau memaklumkan, antara manfaat yang diperolehi oleh pemegang pasport keselamatan ini adalah pampasan sebanyak RM15,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya akibat kemalangan. 

“Dengan adanya kad keselamatan ini, kebajikan kakitangan MPK dan pekerja kontraktor lebih terjamin.

“Sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan awam kepada masyarakat, MPK sentiasa menitikberatkan aspek KKP dalam setiap aktiviti pembersihan awam, pengurusan sisa pepejal, pengindahan bandar, kawalan lalulintas dan sebagainya,” katanya ketika melancarkan MPKSP di ibu pejabat MPK, hari ini.

Fadli berkata, kualiti dan perkhidmatan warga kerja MPK akan lebih berkesan apabila sentiasa mengutamakan aspek KKP manakala gabungan pematuhan amalan kerja yang standard, selamat dan sihat akan menjadikan kerja harian lebih selamat, jimat kos, produktif selain mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.  

Mengulas lanjut katanya, MPK juga berjaya melahirkan seramai 10 orang tenaga pengajar dalaman untuk memberikan latihan berkaitan MPKSP.  

“Fokus utama MPK adalah untuk memastikan kakitangan yang terdedah dengan risiko bahaya di tempat kerja dilindungi dan mendapat manfaat apabila berlaku kemalangan sama ada di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Madin berkata,  pelaksanaan MPKSP merupakan pencapaian yang amat penting dan seharusnya menjadi kebanggaan warga MPK serta  mendorong PBT-PBT lain untuk melaksanakannya.

“NIOSH berharap kesemua PBT di Negeri Terengganu akan melaksanakan sistem pasport keselamatan agar negeri ini menjadi negeri pertama di Semenanjung di mana kesemua PBT melaksanakan inisiatif tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru majikan dan pihak industri yang masih belum melaksanakan program pasport keselamatan untuk berusaha ke arah pelaksanaannya sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

“Walaupun penggunaan pasport keselamatan tidak diwajibkan oleh Kerajaan, namun ia amat digalakkan bagi membantu mengurangkan kemalangan dan penyakit pekerjaan sebagaimana yang digariskan di bawan Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25),” katanya.

Program Pasport Keselamatan NIOSH mula diperkenalkan pada tahun 2000 sebagai usaha Kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pasport keselamatan NIOSH diwajibkan oleh sesetengah industri termasuk minyak dan gas, telekomunikasi dan pengendali lebuhraya. Setiap tahun, lebih 100,000 peserta dilatih di bawah program pasport keselamatan NIOSH di seluruh negara.

Pada majlis tersebut, pihak MPK dan NIOSH turut menandatangani dan betukar-tukar memorandum persefahaman untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang KKP. MPK diwakili Fadli manakala Hanif mewakili NIOSH.

Hanif turut menyarankan PBT untuk mendapatkan pensijilan pengurusan KKP melalui anak syarikat NIOSH iaitu NIOSH Certification Sdn Bhd.

Beliau berkata, Sistem Pengurusan KKP atau ISO 45001:2018boleh diintegrasikan dengan proses pengurusan organisasi sedia ada dan mengikuti struktur standard sistem pengurusan ISO yang lain, seperti ISO 9001 (pengurusan kualiti) dan ISO 14001 (pengurusan alam sekitar).