• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Malaysia Iktiraf Perjuangan Palestin Sejak 1957

KUALA TERENGGANU, 16 Mei – Malaysia telah berperanan lama dalam mengiktiraf dan menyokong perjuangan Palestin iaitu sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani semasa pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

“Beliau tegar menjemput Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini, Mufti Palestin dan pemimpin gerakan Palestin yang diharamkan oleh negara-negara barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua.

“Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya.

“Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine, malam semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden PAS tidak menolak kemungkinan besar berlakunya gencatan senjata di kawasan bergolak itu namun berpendapat ia bukan bertujuan untuk berdamai.

“Senario ini kemungkinan digerakkan oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia bagi mempengaruhi negara-negara Islam dan Arab supaya menerima gencatan senjata.

“Tujuannya bukan untuk berdamai, namun untuk menyelamatkan Israel yang ganas. Usaha itu sedang dijalankan sekarang.

“Kita doakan supaya Allah SWT memberikan kekuatan iman, ikhlas, dan istiqamah kepada saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengorbankan diri, jiwa raga, keluarga, anak-anak, harta, dan segala nikmat, termasuklah bekalan air yang terputus. Inilah pengorbanan,” katanya lagi.