• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Malaysia Kekal Jadi Tumpuan Pelabur - Wan Hassan

Oleh : Afiq Fahmi

DUNGUN, 2 Oktober - "Malaysia kekal menjadi tumpuan pelabur asing. Januari hingga Jun tahun ini telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan perkhidmatan dan utama," ujar Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Katanya, Malaysia telah merekodkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

"Daripada jumlah ini, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion iaitu tiga kali ganda daripada jumlah FDI yang telah diluluskan pada tahun 2020 bagi tempoh yang sama iaitu dengan nilai RM19.8 bilion.

"Manakala pelaburan langsung tempatan (DDI) menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion yang melibatkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45,000 peluang pekerjaan dimana sektor perkilangan telah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM58.2 bilion atau 93.1 peratus daripada jumlah kelulusan.

"Sektor perkhidmatan dan utama pula masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion  (3.5 peratus) dan RM2.15 bilion (3.4 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan yang diberikan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato'Seri Mohamed Azmin Ali, pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Terdahulu, Wan Hassan telah mengajukan soalan untuk mengetahui rancangan strategik kementerian terbabit dalam menjadikan negara ini mesra pelabur pasca Covid-19 untuk terus menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi antarabangsa.

Katanya, kerajaan juga melalui MITI telah melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) dalam usaha mencerdeaskan semula ekonomi.

"Sebagai langkah tambahan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dilindungi yang bertujuan mempertingkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.

"Kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan dimana akan terus menyasarkan nilai pelaburan berkualiti tinggi berpandukan National Investment Aspiration (NIA).

"Kerajaan turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen 'environmental, 'social and governance (ESG)' dalam pengoperasian," katanya.

Justeru beliau berharap MITI akan terus komited dalam menarik pelaburan asing bagi memastikan rantaian ekonomi terus berkembang dalam kerajaan sedang berusaha melakukan pemulihan kesihatan.

"Rakyat di negara ini sudah tentu akan menerima manfaat dari setiap hasil pelaburan yang datang ke dalam negara kita dari segi peluang pekerjaan mahupun pengalaman," ujarnya lagi.


Tag: