• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Malaysia Laksana Lebih 100 Penjujukan Genom Bagi Hasil Vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 September- Kerajaaan Malaysia kini dalam proses mengkaji maklumat genetik virus SAR-CoV-2 melalui penjujukan genom bagi kes Covid-19 bagi memahami epidemiologi tempatan sebelum kajian ke atas penghasilan vaksin dapat dijalankan. 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata, kajian dilakukan berdasarkan kemungkinan virus SARS-CoV-2 yang menyerang warga Malaysia hari ini berbeza dengan ‘serangan’ di negara lain. 

“Sehingga kini, Malaysia telah menjujuk lebih daripada 100 genom virus SARS-CoV-2 yang dipencilkan daripada kes-kes Covid-19 di Malaysia dan data telah didepositkan ke pangkalan data GISAID yang boleh diakses melalui laman sesawang www.gisaid.org. 

“Kajian berkemungkinan berlaku mutasi ke atas genom virus SARS-CoV-2 sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 (2020) di Dewan Negara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri itu, vaksin merupakan antara sumbangan terbesar perubatan moden kepada manusia, memberikan intervensi yang efektif dan mengawal penyakit yang boleh menyebabkan kematian. 

“Walaupun demikian, penyakit berjangkit masih boleh membunuh jutaan orang setiap tahun. 

“Pembangunan dan penghasilan vaksin merupakan proses yang rumit dan mengambil masa yang lama. Pembangunan vaksin manusia daripada konsep sehingga perlesenan kebiasaannya mengambil masa sehingga 15 tahun,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pendekatan Malaysia merangkumi usahasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN).

“Melalui diplomasi sains adalah dengan berkolaborasi dengan negara-negara lain dalam menjalankan penyelidikan bersama dengan pusat-pusat vaksin antarabangsa. 

“Ia untuk memudahkan dan mempercepatkan perolehan pengetahuan teknologi vaksin, latihan sumber manusia serta pengembangan kepakaran spesifik,” ujarnya.

 

 


Tag: