• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Malaysia Robek Gawang Solomon Islands

KUALA NERUS, 14 Jun- Pasukan kebangsaan menang selesa 4-1, ke atas Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam ini.

Sekalipun turun tanpa penyerang utama, Shahrel Fikri yang dilanda kecederaan, Harimau Malaya berjaya mencetak dua gol dalam setiap separuh masa dalam aksi penuh tenaga di hadapan lebih 12,000 penyokong yang hadir.

Anak-anak buah Kim Pan Gon bermula agresif seawal babak pertama dengan beberapa cubaan serangan ke kubu pelawat.

Pada minit kesembilan, Stuart Wilkin hampir menghasilkan jaringan pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Solomon, Philip Mango.

Dua minit berselang, skuad kendalian pengendali dari Sepanyol, Felipe Vega-Arango mengejutkan tuan rumah apabila penyerang, Gagame Feni berjaya menggelecek melepasi pertahanan dan Ahmad Syihan Hazmi dalam satu serangan balas sebelum membuat hantaran lintang kepada Raphael Le'ai yang mudah menjaringkan gol pertama perlawanan.

Tersentak dengan gol awal, Harimau Malaya menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan.

Memasuki minit ke-40, satu hantaran lintang daripada Arif Aiman berjaya berjaya dikeluarkan pertahanan Solomon Islands sebelum Paulo Josue yang menerima bola muntah itu melakukan rembatan kencang untuk jaringan gol penyamaan.

Malaysia terus menggasak dan pada masa tambahan separuh masa pertama, Arif Aiman berjaya menyelinap masuk ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan pertahanan lawan.

Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Arif untuk mencetak nama sebagai penjaring gol kedua bagi skuad kebangsaan.

Bersambung babak kedua, pemain-pemain kebangsaan terus melancarkan serangan bertali arus untuk menggandakan jaringan.

Pada minit ke-76, Muhammad Safawi Rasid yang masuk menggantikan Arif, menerima hantaran lintang daripada Lee Tuck di luar kotak penalti lawan.

Pemain sayap kelahiran Terengganu itu membuat 'turn' mengatasi pertahanan sebelum melakukan rembatan 'volley' menewaskan Philip Mango untuk gol ketiga tuan rumah.

Pada masa tambahan separuh masa kedua, Malaysia sekali lagi merobek gawang Solomon Islands menerusi rembatan Lee Tuck untuk gol terakhir perlawanan.

Malaysia akan bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun ini dalam perlawanan kedua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1.

 

 


Tag: