• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Manfaat Sepenuhnya Taman Herba Dengan Identiti Tersendiri - Dr. Azman


DUNGUN, 29 Julai - Kerajaan negeri sedang merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya keluasan tanah Taman Herba di Pasir Raja untuk diguna pakai secara maksimum dengan herba-herba yang mendapat pasaran tinggi di peringkat tempatan dan luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia menjadi sasaran utama pihaknya  untuk membangunkan industri herba dengan keluasan tanah seluas 406.11 hektar dan  menjadi kawasan pengeluaran herba agro-tourism untuk Terengganu dengan identiti yang tersendiri.

“Kita dapati Tongkat Ali antara herba yang mendapat permintaan tinggi termasuk serai dan kita fokus kepada yang mendapat permintaan, bermakna kita tidak hadkan kepada produk sebagaimana yang ada dalam kertas tetapi setelah melalui tempoh beberapa tahun, kita telah mengenal pasti di mana dan ke mana ia perlu pergi.

“Kita yakin kalau sekiranya diguna pakai  dan dimanfaatkan sepenuhnya, ia bukan setakat mampu, bila kita sebut Pasir Raja, boleh sebut herba, tetapi buat masa sekarang ini, ada beberapa isu yang menghalang termasuk isu serangan daripada binatang liar, pasaran, ketidaksesuaian tanah dan beberapa isu lain.

"Untuk itu, kita minta supaya Syarikat Bioalpha mengemukakan perancangan mereka  yang baharu selepas  beberapa isu dikenal pasti,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan tapak di Herbal Integrated Cluster Development (HICD) Pasir Raja, semalam.

Turut hadir, Pengarah Tanah & Galian negeri, Dato’  Zainal Abidin Hussin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Zainal Abidin Mohamed, Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Tani East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), Megat Shah Rizal Noor Ikhsan, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC,  Baidzawi Che Mat, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangun Herba MOA, Muhammad Ridhwan  Azizan dan Pengarah Urusan Bioalpha, Hon Tian Kok@William.


Tambahnya lagi, itu merupakan tujuan utama lawatan tapak yang dilakukan iaitu bagi mendapatkan  perkembangan terkini dan membincangkan beberapa isu yang bersabit dengan pembangunan industri herba di Pasir Raja.

“Lawatan ini kita mengambil satu jalan tengah yang terbaik di antara ECERDC dengan Syarikat Bioalpha dan kerajaan negeri supaya objektif yang kita gariskan daripada pelaksanaan projek ini mampu dicapai dan kita telah kenal pasti beberapa isu yang akan diambil tindakan segera oleh pihak Bioalpha.

“Tempoh masa sehingga bulan Oktober untuk kita lihat apa lonjakan seterusnya daripada projek yang sedang berjalan, kita akan tengok dalam tempoh beberapa bulan lagi untuk buat kajian semula dan kiranya buat masa sekarang, projek ini belum mencapai lagi objektif yang ditetapkan sebelum ini,” ujarnya.

Untuk rekod, projek ini membabitkan usaha sama awam-swasta dan dimajukan ECERDC bersama syarikat pengeluar produk suplimen kesihatan, Bioalpha.

Bioalpha diberi tugas besar membangunkan tanah seluas 406 hektar di Pasir Raja sebagai sebuah taman herba tradisional tempatan sejak 2014 dan setakat ini berjaya mewujudkan 32 peladang satelit dalam usaha menggalakkan penduduk setempat membangunkan perniagaan sendiri sebagai 'agropreneur'.

Projek ini juga berpotensi menjadikan Terengganu sebagai hab makanan suplimen antarabangsa.

Tag: