• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Manfaatkan OGSE Atasi Cabaran Kejatuhan Harga Minyak

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) diseru memanfaatkan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan (OGSE Blueprint) 2021-2030 yang telah dilancarkan sejak April 2021 bagi menangani cabaran yang sedang dihadapi serta mencapai kemampanan jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sektor OGSE telah menghadapi pelbagai cabaran sejak kejatuhan harga minyak pada tahun 2014.

“Keadaan ini turut diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 dengan penurunan permintaan bahan api di peringkat global.

“Persekitaran ini telah mendedahkan kelemahan struktur yang dihadapi oleh sektor OGSE tempatan termasuk pembangunan teknologi yang terhad, jurang bekalan dalam saluran modal insan, daya saing eksport terhad dan kekurangan akses kepada pembiayaan perlu diberi perhatian bagi menjamin kemampanan jangka panjang sektor OGSE,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Terengganu OGSE Roadshow 2022 yang dianjurkan bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) di Duyong Marina Resort, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar.

Tambahan pula katanya, industri minyak & gas juga sedang berdepan peralihan tenaga sebagai tindak balas terhadap perubahan iklim dengan menganjakkan pengeluaran dan penggunaan tenaga daripada bahan api fosil, termasuk minyak dan gas asli, kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti angin, air dan solar.

“PKS OGSE perlu manfaatkan OGSE Blueprint 2021-2030 untuk menambah nilai jangka panjang, membantu dalam menyahut peluang dan cabaran semasa serta untuk mengambil bahagian dalam peralihan tenaga yang dihadapi pada masa ini,” kata Tengku Hassan.

Katanya, Pelan tindakan OGSE mengandungi 31 inisiatif bertujuan menyokong syarikat OGSE dalam mencapai kepelbagaian dan meningkatkan daya tahan perniagaan  untuk masa hadapan.    

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, pelaksanaan inisiatif OGSE Blueprint sedang berjalan dengan lancar dengan tercatatnya beberapa pencapaian ketara setakat ini.

"Antaranya ialah Geran Pembangunan OGSE ataupun OGSE Development Grant iaitu inisiatif memudahkan pembiayaan pembangunan teknologi, inovasi dan usaha eksport barangan dan perkhidmatan di kalangan syarikat OGSE.

"Sukacita saya berkongsi di sini bahawa enam syarikat OGSE daripada Terengganu telah dianugerahkan pembiayaan sebanyak RM1.29 juta di bawah inisiatif ini daripada 30 syarikat yang telah layak menerima bantuan sebanyak RM6.98 juta setakat ini," kata Mohd Yazid.

Menurutnya lagi, inisiatif OGSE Blueprint yang lain termasuk penganugerahan OGSE Status kepada syarikat OGSE tempatan. OGSE Status ialah pengiktirafan yang diberikan kepada syarikat OGSE Malaysia yang aktif, berkemampuan dan berkebolehan dalam sektor OGSE untuk meningkatkan profit syarikat dan menyediakan akses pasaran yang lebih luas serta memudahkan akses pembiayaan.

"Sehingga kini, 80 syarikat OGSE tempatan telah dianugerahkan OGSE Status, dan lebih banyak syarikat sedang dinilai untuk status ini," katanya.