• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Manfaatkan PKP, Guru Cipta Tangga Ke Angkasa

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang masyarakat daripada menjalani kehidupan harian secara normal tidak menghalang sekumpulan guru untuk mengembangkan bakat mereka.

Sejak bermulanya PKP 1.0 pada tahun lalu, para guru dari Sekolah Kebangsaan Bintang atau BESTars di Setiu memanfaatkan masa bagi meningkatkan keceriaan serta kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sekolah dan salah satunya adalah ‘tangga ke angkasa' yang dinamakan Outer Space bagi menarik minat para pelajar.

Guru Besarnya, Zanariah Jaafar memaklumkan, guru-guru telah merubah tangga laluan utama ke pejabat sekolah menjadi 'ruangan angkasa' bagi meningkatkan minat murid-murid sekolah berkenaan terhadap ilmu astronomi.


"Sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan ramai anak-anak di sini tidak pernah berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti yang ada di Pusat Sains Negara dan Petrosains.


"Jadi, ketiadaan pelajar di sekolah ketika PKP dan PKP Bersyarat lalu, guru-guru cuba membawa suasana tersebut ke dalam sekolah,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekolah terbabit, baru-baru ini.

Laluan masuk ke Outer Space.

Menurutnya, penambahbaikan dari segi keceriaan dalaman dan luaran itu merupakan salah satu aspek yang dilakukan pihak sekolah dalam mewujudkan pembestarian sekolah dari segi ICT dan kemudahan pembelajaran secara maya.

“Perubahan-perubahan ini turut melayakkan sekolah menyertai Anugerah Festival Digital Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu 2020 mewakili daerah Setiu.

“Lebih membanggakan, kami berjaya menjadi johan Pembestarian Sekolah dan turut mendapat naib johan bagi Ikon Robotik Murid Bestari Cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Yasmin Yusof menzahirkan kebanggaan atas usaha tersebut.


 “Kesungguhan beliau dan sokongan guru-guru telah berjaya meletakkan sekolah di tahap yang tinggi. Kita menyokong penuh usaha ini dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, pembestarian sekolah bukan setakat menghias, menceriakan sekolah tetapi lebih penting lagi ialah manfaat dari segi pendidikan kepada pelajar. 

“Beza antara sekolah luar bandar dan di bandar ini adalah pergantungan pelajar kepada sekolah amat besar. Di kawasan bandar, anak-anak ini boleh dapat kemudahan dan kemahiran terutama ICT di pelbagai cabang.

“Di luar bandar, kekurangannya ialah anak-anak bergantung kepada sekolah. Kalau sekolah tidak memperkasakan perkara ini, maka kemahiran pelajar dari segi ICT, ilmu mengenainya akan terjejas.


“Apabila BESTars memperkasakan aspek ini dengan membuat perubahan-perubahan dari segi fizikal untuk menarik minat pelajar, meski dengan kekurangan mereka akan seronok untuk belajar,” katanya.

Tambahnya lagi, pada masa yang sama memberi impak dengan pelajar akan seronok untuk hadir ke sekolah.

 


Tag: