• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Mangsa Banjir Di Dungun Terima Bantuan RM1,000

DUNGUN, 6 Mac - Lebih 1,000 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Rantau Abang, Paka dan Sura menerima bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, semua DUN di Dungun terlibat dengan banjir tetapi fasanya berbeza.

"Di Dungun ini ada lima fasa, banjir dalam Terengganu bencana banjir berlaku dalam fasa kedua hingga kelima," katanya.

Kamal berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ehsan Kepada Mangsa Banjir Tahun 2020 /2021 DUN Bukit Besi yang diadakan di Balai Raya Kampung Jerangau di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Penghulu Mukim Jerangau, Hassidy Hassan.

Menurut Ahmad Kamal, APM yang merupakan anggota Sekretariat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Daerah Dungun telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 kepada setiap penerima.

"Oleh kerana, kerajaan negeri pun ada juga memperuntukkan sebanyak RM500 kepada setiap ketua keluarga mangsa banjir, jadi kita buat majlis penyerahan bersekali, jadi setiap penerima akan menerima sebanyak RM1,000," jelasnya lagi.

Sementara itu, Alias di dalam ucapan berkata, sumbangan tersebut walaupun dikatakan agak lambat tetapi sebenarnya tepat pada masanya.

"Memandangkan kita akan berpuasa tidak lama lagi dan setelah itu akan berhari raya dengan suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19, wang yang diterima perlu dibelanjakan sebaiknya, jangan membeli barang-barang yang tidak penting," ujarnya. 


Tag: