• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Mangsa Banjir Diharap Tabah, Sabar Hadapi Ujian

DUNGUN, 25 Disember-  Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengharapkan mangsa banjir khususnya di daerah itu yang kini mengalami banjir gelombang ketiga bersabar dan tabah dengan ujian yang dihadapi. 

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir. 

"Saya berharap semoga mangsa banjir di sini bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang diberi. Semoga Allah gantikan yang lebih baik dari sebelum ini.

"Juga jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4, malam tadi. 

Menurut Wan Hassan, seramai 303 mangsa banjir daripada 55 keluarga telah dipindahkan ke PPS terbabit setakat jam 12 malam.

"Kesemua mangsa yang ditempatkan di situ terdiri daripada empat kampung iaitu Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4, Felda Kerteh 4A dan Ketengah Jaya.

"Alhamdulillah, malam tadi saya melihat pelbagai bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan harian di hantar dengan segera kepada mangsa banjir yang berada di PPS tersebut," katanya. 


Tag: