• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Kebakaran Terima Bantuan Awal RM1,000

KUALA TERENGGANU, 19 September - Mangsa yang terbabit dalam kebakaran rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina di sini menerima bantuan kewangan berjumlah RM1,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, mangsa yang terdiri daripada 12 peniaga itu juga turut ditawarkan lokasi perniagaan sementara di Pasar Besar Kedai Payang.

“Saya telah keluarkan arahan kepada pegawai kita untuk berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi membenarkan mangsa kebakaran tersebut berniaga buat sementara di Pasar Besar Kedai Payang.

“Di samping itu, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan bantuan wang tunai RM25,000 untuk mereka membina semula premis perniagaan atau menerima rumah baharu bernilai RM60,000 di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kesan kebakaran tersebut di Kampung Cina di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, beliau telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat laporan terperinci mengenai kebakaran tersebut sebelum dihantar kepada Sektariat Tabung Darul Iman untuk sebarang keputusan penyerahan bantuan dilakukan.

“Kita akan tengok apa bantuan yang sesuai memandangkan sebahagian mereka duduk di atas tanah kerajaan.

“Untuk yang mendiami tanah sendiri pula tiada masalah, biasanya kerajaan akan bagi rumah PPRT, tetapi dalam kes ini disebabkan mereka peniaga dan sekiranya tidak mahu rumah kediaman, kita akan mempertimbangan untuk memberikan wang tunai,” ujarnya.

Terdahulu, laporan media memaklumkan dalam kebakaran yang dipercayai berlaku jam 8.15 malam tadi, 12 rumah kedai serta kedai setingkat jenis separuh kekal membabitkan kedai kain, kedai jahit, kedai membuat kunci, kedai makan, kedai emas dan rumah penginapan musnah dijilat api.

Kebakaran itu menyebabkan tujuh premis terbakar 100 peratus manakala lima lagi rosak antara 20 hingga 90 peratus.