• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Mansuh Pencen : Bentang Segera Kertas Putih- Dr Alias

KUALA TERENGGANU, 29 Februari- Kerajaan sewajarnya segera membentangkan kertas putih berhubung pemansuhan skim pencen penjawat awam sekiranya tidak mahu wujud sebarang persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menggesa semua pihak menghentikan andaian negatif isu mansuh pencen merupakan kenyataan yang tidak wajar.

“Ia kerana ini bukan andaian negatif, tapi tugas kami menyuarakan keresahan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, merujuk kepada jawapan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam sidang Dewan Rakyat, sesi soal jawab lisan semalam, tegas Alias kenyataan dan jawapan Yang Berhormat Menteri Kesihatan yang melabel soalan beliau sebagai ‘kurang tepat’ adalah tidak menepati realiti sebenar. 

"Soalan saya berkenaan inisiatif Kerajaan untuk menarik minat graduan perubatan juga bidang-bidang kritikal lain untuk kekal berkhidmat dalam sektor awam susulan pemansuhan skim pencen penjawat awam baharu, adalah merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari lepas yang menyatakan bahawa ‘Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu Kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen’,” jelasnya.

Tambah Alias, penghapusan skim pencen penjawat awam dijangka memberi kesan yang besar khususnya kepada sektor kesihatan awam negara. 

“Dalam keadaan skim pencen masih ada, seramai 54,375 pegawai perubatan telah meninggalkan Kementerian Kesihatan pada tahun 2022. 

"Ini berdasarkan data yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, sesi soal jawab lisan, semalam,” ujarnya.

Oleh itu katanya, berdasarkan data yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri tersebut, banyak pihak menjangkakan lebih ramai pegawai perubatan yang akan meninggalkan KKM selepas pemansuhan skim pencen penjawat awam kerana khidmat bakti dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada negara tidak setimpal kerana tiada jaminan wang persaraan selepas tempoh perkhidmatan berakhir, maka berkhidmat di sektor swasta akan menjadi satu pilihan yang lebih baik,” ujarnya.