• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Manuskrip Digital Ulama Terengganu Bakal Wujud

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kerajaan negeri bakal mewujudkan manuskrip Ulama Terengganu secara digital bagi menarik seluruh masyarakat untuk lebih mengenali dan menghargai peranan ulama di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, usaha itu merupakan salah satu langkah pihaknya bersama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dalam merungkai perjalanan sejarah serta ketamadunan Islam di negeri ini.

Katanya, antara objektif utama pendigitalan manuskrip ulama dalam negeri ialah menjadikan negeri Terengganu sebagai sumber rujukan digital berkaitan ulama dan manuskrip.

“Kita akan memelihara manuskrip-manuskrip lama yang ada di Terengganu berasaskan digital yang akan dibangunkan melalui penerapan elemen multimedia untuk menyampaikan informasi dalam dunia maya

“Buat masa ini, proses awalan program ini akan dimulakan dengan menjejaki maklumat berkenaan Tok Pulau Manis untuk divisualisasikan dalam bentuk digital yang akan dijayakan dengan kerjasama dari pihak penyelidik Universiti Tempatan (Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam) atau nama lain (INSPIRE) daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam masa sama, pihaknya juga akan mewujudkan 'ulama trail' dengan mengenal pasti laluan dan kesan-kesan sejarah yang membawa kepada perkembangan Islam di Terengganu.

“Antara lokasi 'ulama trail' melibatkan Makam Tok Pelam, Makam Tokku Paloh, Makam Tokku Pulau Manis, Masjid Hiliran, Kota Duyong, Masjid Rusila, Makam Tok Gajah dan Memorial Batu Bersurat,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, bagi langkah promosi di peringkat antarabangsa, satu perbincangan awal telah diadakan bersama Kedutaan Turki di Malaysia bagi menjalinkan kerjasama 'edu-tourism' yang meliputi segmen sejarah dan keilmuan Islam. 

“Satu perbincangan lanjut berkenaan dengan segmentasi kerjasama tersebut akan diadakan pada bulan September ini sempena kunjungan hormat Duta Turki ke Negeri Terengganu,” katanya.