• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Marang Monsoon Ride Tarikan Baru Sukan Berbasikal Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 November - Marang Monsoon Ride 2021 anjuran Pejabat Daerah Marang yang berlangsung semalam, mampu menjadi tarikan baru kepada penggemar sukan berbasikal di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program berkenaan wajar dimasukkan dalam kalendar kayuhan bagi penggemar sukan berbasikal di Terengganu.

Ini kerana, laluan kayuhan sepanjang 25km merentasi keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang itu menyajikan pengalaman hebat sepanjang kayuhan.

"Alhamdulillah Marang Monsoon Ride 2021 berjalan dengan jayanya. Saya juga tidak melepaskan peluang hadir bersama-sama peserta kayuhan tersebut.

"Walaupun pertama kali diadakan program ini berjaya menarik lebih 400 penyertaan.

"Selain aktiviti berbasikal, program kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas perasmian semalam.

Turut hadir memeriahkan lagi program berkenaan ialah YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Azizul Hadi.

Selain itu, mereka turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rozali Salleh, Pegawai Daerah Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Jelasnya, meskipun program itu cuma di peringkat daerah, ia patut diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan keunikan kawasan Marang kepada orang ramai.